Friday, December 3, 2010

PENGGUNAAN KATA SENDI NAMA :)


Kata sendi nama dari digunakan untuk menyatakan tempat,masa dan arah. 

Guna formula 
ATM(A=arah, T=tempat,M=masa)

Contoh penggunaan:.

1. Roslin Hashim berasal dari Kelantan.

2. 
Dari pagi lagi ibu menanti kepulangan anaknya.

3. Tukang sapu itu bekerja 
dari jam 7.00 pagi hingga jam 5.00 petang.

Kata sendi nama'daripada' pula digunakan untuk menyatakan orang,perbandingan dan asal kejadian. 

Contoh penggunaan :

1. Rumah itu diperbuat 
daripada batu dan kayu.

2. Khairudin menerima sepucuk surat 
daripada Fatimah.

3. Rumah Ali lebih besar 
daripada rumah Abu.



TIP KARANGAN CEMERLANG


TIP KARANGAN CEMERLANG

Secara ringkasnya, ciri-ciri karangan cemerlang ialah:

-         karangan yang menepati kehendak soalan/tajuk
-         mempunyai ketepatan isi
-         hujah yang bernas
-         contoh menyokong isi yang relevan
-          penguasaan tatabahasa termasuk tanda baca
-         Kemahiran menggunakan penanda wacana
-         Ayat pelbagai ragam dan rencam
-         Penguasaan kosa kata yang luas
-         Penguasaan olahan ayat yang istimewa
-         Kemahiran pemerengganan
-         Penutup karangan yang menarik
-         Olahan isi berdasarkan formula



Merancang Susunan Isi

1.   Karangan yang baik perlu dirancang mengikut kepentingan isi. Isi yang pertama perlu diutamakan terlebih dahulu. Penyesusunannya mestilah menampakkan pertalian antara satu isi dengan isi yang lain.
2.   Untuk menjadikan karangan lebih lancar, pemerengganan dalam isi karangan hendaklah ditulis dalam perenggan-perenggan yang tertentu dan khusus.
3.   Idea disampaikan dalam gaya bahasa yang menarik.
4.   jangan menggunakan ayat-ayat yang berbelit-belit (berulang-ulang) ketika membuat penghuraian isi karangan.
5.   Bina ayat yang pendek tetapi padat.

Menulis Kesimpulan atau Penutup

1.    bahagian ini merupakan bahagian yang penting kerana bahagian ini dikatakan menjadi penutup, penyudah bicara atau sentuhan terakhir dalam penulisan karangan.
2.Calon perlu membuat penegasan pendirian dalam keadaan yang tegas dan padat
3.Penutup jarangan baik ialah kesimpulan yang menjelaskan maksud keseluruhan karangan dan pendirian penulis. Pendirian perlu dijelaskan dengan unsure-unsur positif, logik dan berkesan.

UNGKAPAN MENARIK


Penggunaan Ungkapan Menarik


Penggunaan ungkapan menarik dalam karangan bahasa Melayu SPM amat penting untuk membentu calon membina ayat yang lebih gramatis.


Ungkapan menarik:


Tuntasnya,

Sebagai intiha,                 =               Kesimpulannya,

Konklusinya,

Akhir kalam


Ironinya,Impak            -       Kesannya
Memorabilia              -  Kenangan manis yang tidak dapat dilupakan
Mutakhir ini                 -       Dewasa ini                                
Marcapada ini,             -       Dewasa ini
Obses,                        -       Terlalu terikut-ikut                          
Rencaman                    -       Pelbagai                                   
Wadah                        -       Alat                         
Disemarakkan              -       Digiatkan                                 
Dijana                         -       Dijalankan                        
Enteng                        -       Ambil mudah                    
Ukhrawi                      -       Rohani                             
Diuar-uarkan               -       Diberitahu, dihebahkan                      
Sinergi                        -       kerjasama                
Kemelut                       -      Masalah
Tersohor                     -      Terkenal                                  
Diimplementasikan        -      digunakan
Nirmala                       -      hening
Izhar                          -      jelas
Hedonisme                   -      mementingkan keseronokan
Seantero                     -       seluruh
Signifikan                    -       bermakna atau penting
Ruwet                         -        kalut, kusut atau sulit               
Filsafat                      -        falsafah
Kendatipun                  -       walaupun
Metropoli                    -       Bandar raya
Mayapada                   -       Dunia
Pasrah                        -       Menyerah
Mampan                      -       Mantap
Efisien                        -       menjalankan tugas dengan cekap
Modal insan                 -       pembangunan manusia
Aspirasi                      -       cita-cita
Sofistikated                -       bersifat komplek
Sementalahan pula       -       tambahan pula, lebih-lebih lagi
Utopis                         -       masyarakat yang sempurna
Swadaya                     -       kekuatan sendiri
Tamsilan                     -       contoh
Luwes                         -       tidak terlalu ketat
Heterogen                  -       pelbagai
Polemik                       -      Isu yang sering dibincangkan
Pidana                        -       kejahatan
Terhunus                    -       telah sedia tercabut
Secara analogi            -       peringkat demi peringkat
Dominan                     -       utama
Mangkin yang efektif  -        faktor-faktor penyebab
Uswah                       -        contoh, teladan
Rohaniah dan Insaniah-        nilai-nilai kamanusiaan
Pragmatis                  -        praktikal
Altruisme                  -        mengutamakan kebajikan orang
Holistik                     -        mulia
Kedangkalan              -        kekurangan
Kronik                       -       dasyhat                                



Thursday, December 2, 2010

Kesan Globalisasi

Globalisasi dikatakan membawa kesan yang mendalam terhadap rakyat sesebuah negara. Pada pendapat anda apakah kesan globalisasi kepada Malaysia.
Menurut Kamus Dewan, globalisasi membawa maksud "fenomena yang menjadikan dunia kelihatan mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat." Imam Ghazali ketika berhadapan dengan cabaran falsafah Yunani pada zamannya, tidak terlalu cepat mengeluarkan hukuman terhadap falsafah tersebut. Bahkan, beliau mengkaji baik dan buruknya perkara tersebut sehingga mampu mengeluarkan perkara positif daripada banyak perkara negatif yang terdapat dalam falsafah Yunani. Justeru, globalisasi juga perlu dikaji baik dan buruknya sehingga kita dapat menggunakan aspek positif yang ada untuk menentang keburukan globalisasi.
Kesan baik yang utama ialah rakyat Malaysia perlu mengalami anjakan paradigma, iaitu mereka perlu menggunakan teknologi terkini berbanding dengan cara tradisional dalam pelbagai lapangan hidup mereka. Sebagai contoh, negara kita menuju ke arah E-Kerajaan, dan E-Dagang. Sehubungan dengan ini, rakyat mahu tidak mahu terpaksa menguasai Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Kita akan ketinggalan dalam arus perdana sekiranya kita tidak menguasai ICT. Dalam era globalisasi, perniagaan dan perdagangan tidak mengenali batasan atau sempadan. Seorang usahawan batik contohnya, boleh menjual hasil batiknya ke seluruh dunia dengan hanya mengiklankan dalam internet dan boleh menjalankan perniagaannya dari rumah. Justeru, beliau dapat menjimatkan kosnya kerana tidak perlu menyewa bangunan, membayar bil api dan air, serta tidak perlu mengupah pembantu. Tegasnya, peluang pasaran terbuka di seluruh dunia.
Kesan baik yang seterusnya ialah rakyat Malaysia amnya dan usahawan khusunya perlu meningkatkan mutu produk mereka dalam era globalisasi. Hal ini demikian kerana ahli perniagaan kita bukan sahaja berhadapan dengan saingan dari dalam negara, malah terpaksa bersaing dengan produk dari seantero dunia. Oleh itu, mahu tidak mahu, rakyat Malaysia perlu berkreatif dan inovatif dalam menampilkan produk mereka agar dapat bersaing di peringkat antarabangsa. Hal ini menuntut rakyat Malaysia untuk menjalankan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) ke atas barangan tempatan agar negara kita boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju. Justeru, imej negara kita dapat ditingkatkan di persada dunia.
Seterusnya, globalisasi juga membolehkan negara kita menerima teknologi terkini. Hal ini disebabkan kemajuan dalam bidang ICT membolehkan kita berhubungan dengan sesiapa sahaja di seluruh dunia. Hasil penemuan yang terbaru disiarkan dalam internet. Hal ini membolehkan pakar-pakar tempatan dalam bidang perubatan, kejuruteraan, teknologi maklumat, perindustrian, pertanian dan sebagainya memanfaatkan penemuan-penemuan terbaru oleh rakan mereka dari seluruh dunia dan dalam masa yang singkat rakyat Malaysia juga dapat menikmati hasilnya. Sebagai contoh, pakar neurologi dari Malaysia boleh mengadakan telesidang dengan pakar-pakar neurologi dari seluruh dunia untuk mengubati penyakit berkaitan dengan neurologi. Jelaslah bahawa globalisasi memang menguntungkan rakyat Malaysia.
Juga, globalisasi mendatangkan kesan buruk kepada rakyat Malaysia. Globalisasi bersinonim dengan pengamerikaan dunia. Ia merupakan proses untuk menjadikan budaya Amerika diikuti oleh semua penduduk dunia. Maklumlah globalisasi dikatakan “Semua Untuk Satu”. Proses ini akhirnya akan merosakkan budaya lain selain budaya Amerika. Perkara ini tidak menjadi negatif sekiranya budaya Amerika ialah budaya yang baik, bertepatan dengan fitrah kejadian manusia dan budaya timur serta agma Islam. Sebaliknya budaya Amerika merupakan budaya yang kebanyakannya bertentangan dengan akhlak dan norma hidup masyarakat timur amnya dan Malaysia khususnya.Budaya seks bebas dan gay merupakan contoh yang jelas. Saban hari kita dapat menatap di dada akhbar dan dapat mendengar berita di radio dan televisyen tentang kebobrokan yang dialami oleh remaja kita seperti melepak, seks bebas, buang bayi, memakai pakaian yang bukan sahaja tidak menutup aurat malah berunsur seksi. Tegasnya globalisasi merosakkan budaya dan norma hidup masyarakat kita yang dipandang mulia seperti kata peribahasa biar mati anak, jangan mati adat.
Tambahan pula, globalisasi juga telah mempengaruhi gaya hidup masyarakat Malaysia. Sebagai contoh, kita dapat lihat betapa ramai yang mengunjungi Kentucky Fried Chicken, Mc Donald, Pizza Hut, Kenny Rogers dan sebagainya. Golongan remaja tidak suka makan makanan ulam dan mereka berpendapat bahawa ulam ialah makanan golongan tua yang sudah ketinggalan zaman. Mereka sebenarnya tidak menyedari bahawa makanan segera dan ringan memudaratkan kesihatan mereka. Satu kajian yang dijalankan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini menunjukkan bahawa hampir 40% daripada remaja kita mengalami obesiti. Hal ini bersangkut-paut dengan penyakit seperti penyakit serangan jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi, kerosakan buah pinggang dan sebagainya. Hal ini demikian kerana makanan ringan dan segera ini mengandungi bahan kimia seperti Monosodium Glutamate (MSG) dan bahan pengawet yang menjejaskan kesihatan dalam jangka panjang. Slogan KFC ialah, “Sedap sehingga menjilat jari”. Ini bertentangan dengan budaya masyarakat timur amnya dan Malaysia khususnya kerana kita tidak dibenarkan menjilat jari selepas makan. Selain itu, menjilat jari bermakna mengajak umat mengutamakan rasa sedap. Walhal, kita sepatutnya bersyukur dengan makanan yang disediakan oleh ibu bapa kita walaupun sederhana kerana berjuta-juta manusia di seluruh dunia menghadapi kebuluran. Jelaslah bahawa globalisasi mengajar rakyat kita untuk tidak bersyukur dengan apa yang ada dan menyebabkan rakyat kita menjadi tenaga kerja yang berpenyakit dan tidak produktif. Akhirnya hal ini akan membantut usaha kita untuk menjadikan negara kita sebagai negara maju mengikut acuan kita sendiri sebagaiman yang digariskan dalam Wawasan 2020.
Globalisasi juga menyebabkan jurang perbezaan antara negara-negara kaya dengan negara-negara miskin bertambah luas. Menurut Dr.Yusuf al-Qaradawi, “Sesungguhnya globalisasi hanyalah untuk kebaikan golongan yang kuat terhadap yang lemah, untuk menguntungkan yang kaya dan untuk memanfaatkan blok utara yang kaya terhadap blok selatan yang miskin”. Dalam sistem globalisasi, negara yang kaya akan bertambah kaya , manakala yang miskin akan terus miskin. Pertubuhan-pertubuhan antarabangsa seperti Bank Dunia berperanan dalam mewujudkan jurang yang besar antara negara blok utara dan blok selatan. Negara-negara dunia ketiga yang berada dalam blok selatan, ketika berhutang dengan Bank Dunia, akan dikenakan faedah dan syarat-syarat tertentu yang rata-ratanya akan mendatangkan kesan negatif kepada peminjam. Dalam era globalisasi, negara blok selatan yang masih merangkak tidak mampu mengejar, apatah lagi menyaingi negara-negara maju di blok utara. Oleh itu, jelaslah bahawa globalisasi merupakan satu bentuk penjajahan negara maju ke atas negara miskin dan sedang membangun seperti Malaysia.
Kesimpulannya, globalisasi harus ditangani dengan berhati-hati. Kerajaan kita harus mengambil langkah-langkah yang proaktif agar rakyat kita amnya dan remaja khususnya tidak terjerumus dalam lembah kehinaan yang sememangnya dirancang oleh negara maju untuk memusnahkan golongan muda agar negara-negara miskin dan membangun senantiasa melutut kepada mereka dan menagih simpati dan pertolongan yang akhirnya membelenggu kita dari segala aspek kehidupan kita. Jelaslah bahawa globalisasi boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk penjajahan – penjajahan mental, ekonomi, budaya, sosial dan politik. Oleh itu, kita perlu berhati-hati menghadapi era globalisasi ini kerana jangan sudah terhantuk baru tengadah.




contoh karangan - Jerebu

Faktor-faktor yang menyebabkan jerebu

                Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas dan berkembang ini, masyarakat pada hari ini sering berhadapan dengan masalah jerebu yang bagaikan bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan nyiru lagi. Fenomena jerebu ini seolah-olah telah termaktub dalam takwim ramalan cuaca negara kerana telah acapkali melanda negara kita. Pada tahun 2005, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan telah menyebabkan jerebu yang teruk di Semenanjung Malaysia terutamanya di sekitar Lembah Kelang. Di samping itu, Kuala Selangor dan Pelabuhan Kelang telah diiystiharkan darurat kerana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kedua-dua kawasan itu telah melebihi 500, iaitu tahap darurat. Pada tahun 2006, masalah jerebu turut berlaku sekali lagi. Masalah jerebu yang banyak mengundang kontroversi ini, sebenarnya disebabkan oleh beberapa punca, persis kata orang tua-tua , “ jikalau tiada angin, masakan pokok    bergoyang ”.

                Faktor dominan yang menyumbang kepada masalah jerebu ialahpembakaran hutan secara besar-besaran. Sebenarnya, keadaan cuaca di kawasan hutan hujan tropika memang terlalu panas sehingga boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan terbakar dengan sendirinya akibat suhu meningkat . Hal ini berlaku demikian kerana fenomena pemanasan global yang sedang berlaku di muka bumi ini. Di negara jiran kita, Indonesia pembakaran hutan sering berlaku kerana pihak Indonesia ingin membina infrastruktur yang baharu seperti bangunan, sekolah dan lebuh raya. Hal ini mengakibatkan pembakaran hutan secara berleluasa. Apabila angin bertiup dari Sumatera ke Malaysia, angin tersebut akan membawa jerebu bersama-sama ke negara kita. Natijahnya, udara kita semakin tecemar sementelahan pula Indeks Pencemaran Udara di negara kita melebihi paras berbahaya. Oleh itu, pembakaran hutan akan menyebabkan asap dan debu serta bahan yang telah separuh bakar berterbangan di atmosfera lalu berlakulah jerebu.

                Seterusnya, masyarakat yang melakukan pembakaran secara terbuka tanpa kawalan juga menyebabkan keadaan jerebu menjadi-jadi. Pembakaran terbuka ini dilakukan oleh pihak yang ingin menghapuskan sesuatu seperti sampah sarap. Sesetengah rakyat negara pula melakukan pembakaran terbuka di belakang kawasan rumah mereka sendiri. Mereka telalu malas untuk membawa sampah sarap mereka ke tempat pembuangan sampah atau pusat pengitaran sampah semula. Jadi, mereka telah mengambil jalan mudah dengan membakar sampah sarap mereka tanpa kisah jika asap daripada pembakaran terbuka itu yang sedikit demi sedikit membawa kepada masalah jerebu. Ada pula sesetengah petani yang membakar jerami padi untuk membersihkan kawasan sawahnya sebelum melakukan penanaman semula. Mereka tidak sedar bahawa asap dari pembakaran ini tidak akan berada di suatu tempat sahaja tetapi akan ditiup angin dan meliputi kawasan yang amat luas. Natijahnya, pembakaran terbuka ini melepaskan asap ke udara dan mengakibatkan jerebu.

                Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan juga telah mengakibatkan masalah jerebu di Malaysia. Di Malaysia, terdapat 9.3 juta buah kenderaan di jalan raya. Kenderaaan yang tidak dilengkapi pengubah pemangkin telah menyebabkan 16.2 tan karbon monoksida dan dua tan sodium dioksida dikeluarkan setiap hari. Kesesakan lalu lintas menyebabkan kenderaan tidak bergerak tetapi mengeluarkan asap pencemar. Gas-gas pencemar ini merupakan bahan terampai yang memenuhi udara. Gas-gas yang dibebaskan pula tidak dapat dibebaskan ke atmosfera dan sebaliknya terperangkap dalam lapisan bumi. Kejadian gas-gas yang terperangkap ini bagai selimut yang menutupi bumi. Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya akan menyebabkan jumlah asap yang dikeluarkan dari paip ekzos kenderaan meningkat dan berlegar-legar di atmosfera dan terperangkap di lapisan ozon serta tidak dapat keluar ke angkasa lepas. Hal ini menyebabkan udara menjadi tebal dan berlakulah jerebu di negara kita.

                Selain itu, masalah jerebu juga berpunca daripada kegiatan industri yang tidak terkawal. Hal ini berlaku demikian kerana sesebuah negara banyak bergantung pada bidang perindustrian yang mengaut keuntungan yang lumayan demi kemajuan negara. Malangnya, sikap pengusaha kilang yang bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing menyebabkan asap-asap dari kilang yang dilepaskan ke udara telah mencemarkan udara di negara kita. Mereka tidak sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan alat penapisan asap untuk menapis asap yang dikeluarkan dari kilang mereka sedangkan asap-asap yang dikeluarkan ini mengandungi sulfur dioksida dan nitrogen yang boleh mengakibatkan udara menjadi berjerebu. Situasi ini bertambah buruk apabila ada pihak pengusaha kilang yang memasang corong asap yang terlalu rendah sehingga menyalurkan asap beracun ke udara. Pelepasan asap kilang yang tidak terkawal dan tidak mengikut prosedur tertentu akan memburukkan keadaan jerebu di negara kita lagi.

                Sebagai penutup bicara, jerebu merupakan fenomena alam yang memberi kesan yang buruk kepada manusia. Fenomena jerebu yang disebabkan oleh proses alam semula jadi tidaklah menyebabkan jerebu yang buruk berbanding dengan jerebu yang disebabkan oleh aktiviti manusia. Kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang songsang ini, sebaliknya langkah-langkah efektif perlu diambil sebelum kemelut tersebut berada di luar kawalan persis kata orang tua-tua, “sebelum nasi menjadi bubur”. Sekiranya masalah jerebu tidak mendapat perhatian ramai, nescaya generasi yang akan datang ketandusan nilai cinta akan alam sekitar. Oleh itu, semua wargabumi haruslah berganding bahu untuk menyelesaikan masalah berjerebu di Malaysia yang semakin serius supaya masyarakat sejagat dapat hidup dengan selamat. Tidak gunanya kita meratapi kehilangannya suatu ketika nanti jika langkah-langkah pencegahan tidak dimulakan dan dilakukan dari sekarang kerana pepatah melayu ada berbunyi, 
“sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.

Selamat datang ke blog Zarina.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kepada anak-anak didik yang dikasihi, harap blog saya ini akan membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu, khususnya pelajar-pelajar SPM. Sila ikuti blog saya seterusnya.