Thursday, December 2, 2010

Kesan Globalisasi

Globalisasi dikatakan membawa kesan yang mendalam terhadap rakyat sesebuah negara. Pada pendapat anda apakah kesan globalisasi kepada Malaysia.
Menurut Kamus Dewan, globalisasi membawa maksud "fenomena yang menjadikan dunia kelihatan mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat." Imam Ghazali ketika berhadapan dengan cabaran falsafah Yunani pada zamannya, tidak terlalu cepat mengeluarkan hukuman terhadap falsafah tersebut. Bahkan, beliau mengkaji baik dan buruknya perkara tersebut sehingga mampu mengeluarkan perkara positif daripada banyak perkara negatif yang terdapat dalam falsafah Yunani. Justeru, globalisasi juga perlu dikaji baik dan buruknya sehingga kita dapat menggunakan aspek positif yang ada untuk menentang keburukan globalisasi.
Kesan baik yang utama ialah rakyat Malaysia perlu mengalami anjakan paradigma, iaitu mereka perlu menggunakan teknologi terkini berbanding dengan cara tradisional dalam pelbagai lapangan hidup mereka. Sebagai contoh, negara kita menuju ke arah E-Kerajaan, dan E-Dagang. Sehubungan dengan ini, rakyat mahu tidak mahu terpaksa menguasai Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Kita akan ketinggalan dalam arus perdana sekiranya kita tidak menguasai ICT. Dalam era globalisasi, perniagaan dan perdagangan tidak mengenali batasan atau sempadan. Seorang usahawan batik contohnya, boleh menjual hasil batiknya ke seluruh dunia dengan hanya mengiklankan dalam internet dan boleh menjalankan perniagaannya dari rumah. Justeru, beliau dapat menjimatkan kosnya kerana tidak perlu menyewa bangunan, membayar bil api dan air, serta tidak perlu mengupah pembantu. Tegasnya, peluang pasaran terbuka di seluruh dunia.
Kesan baik yang seterusnya ialah rakyat Malaysia amnya dan usahawan khusunya perlu meningkatkan mutu produk mereka dalam era globalisasi. Hal ini demikian kerana ahli perniagaan kita bukan sahaja berhadapan dengan saingan dari dalam negara, malah terpaksa bersaing dengan produk dari seantero dunia. Oleh itu, mahu tidak mahu, rakyat Malaysia perlu berkreatif dan inovatif dalam menampilkan produk mereka agar dapat bersaing di peringkat antarabangsa. Hal ini menuntut rakyat Malaysia untuk menjalankan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) ke atas barangan tempatan agar negara kita boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju. Justeru, imej negara kita dapat ditingkatkan di persada dunia.
Seterusnya, globalisasi juga membolehkan negara kita menerima teknologi terkini. Hal ini disebabkan kemajuan dalam bidang ICT membolehkan kita berhubungan dengan sesiapa sahaja di seluruh dunia. Hasil penemuan yang terbaru disiarkan dalam internet. Hal ini membolehkan pakar-pakar tempatan dalam bidang perubatan, kejuruteraan, teknologi maklumat, perindustrian, pertanian dan sebagainya memanfaatkan penemuan-penemuan terbaru oleh rakan mereka dari seluruh dunia dan dalam masa yang singkat rakyat Malaysia juga dapat menikmati hasilnya. Sebagai contoh, pakar neurologi dari Malaysia boleh mengadakan telesidang dengan pakar-pakar neurologi dari seluruh dunia untuk mengubati penyakit berkaitan dengan neurologi. Jelaslah bahawa globalisasi memang menguntungkan rakyat Malaysia.
Juga, globalisasi mendatangkan kesan buruk kepada rakyat Malaysia. Globalisasi bersinonim dengan pengamerikaan dunia. Ia merupakan proses untuk menjadikan budaya Amerika diikuti oleh semua penduduk dunia. Maklumlah globalisasi dikatakan “Semua Untuk Satu”. Proses ini akhirnya akan merosakkan budaya lain selain budaya Amerika. Perkara ini tidak menjadi negatif sekiranya budaya Amerika ialah budaya yang baik, bertepatan dengan fitrah kejadian manusia dan budaya timur serta agma Islam. Sebaliknya budaya Amerika merupakan budaya yang kebanyakannya bertentangan dengan akhlak dan norma hidup masyarakat timur amnya dan Malaysia khususnya.Budaya seks bebas dan gay merupakan contoh yang jelas. Saban hari kita dapat menatap di dada akhbar dan dapat mendengar berita di radio dan televisyen tentang kebobrokan yang dialami oleh remaja kita seperti melepak, seks bebas, buang bayi, memakai pakaian yang bukan sahaja tidak menutup aurat malah berunsur seksi. Tegasnya globalisasi merosakkan budaya dan norma hidup masyarakat kita yang dipandang mulia seperti kata peribahasa biar mati anak, jangan mati adat.
Tambahan pula, globalisasi juga telah mempengaruhi gaya hidup masyarakat Malaysia. Sebagai contoh, kita dapat lihat betapa ramai yang mengunjungi Kentucky Fried Chicken, Mc Donald, Pizza Hut, Kenny Rogers dan sebagainya. Golongan remaja tidak suka makan makanan ulam dan mereka berpendapat bahawa ulam ialah makanan golongan tua yang sudah ketinggalan zaman. Mereka sebenarnya tidak menyedari bahawa makanan segera dan ringan memudaratkan kesihatan mereka. Satu kajian yang dijalankan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini menunjukkan bahawa hampir 40% daripada remaja kita mengalami obesiti. Hal ini bersangkut-paut dengan penyakit seperti penyakit serangan jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi, kerosakan buah pinggang dan sebagainya. Hal ini demikian kerana makanan ringan dan segera ini mengandungi bahan kimia seperti Monosodium Glutamate (MSG) dan bahan pengawet yang menjejaskan kesihatan dalam jangka panjang. Slogan KFC ialah, “Sedap sehingga menjilat jari”. Ini bertentangan dengan budaya masyarakat timur amnya dan Malaysia khususnya kerana kita tidak dibenarkan menjilat jari selepas makan. Selain itu, menjilat jari bermakna mengajak umat mengutamakan rasa sedap. Walhal, kita sepatutnya bersyukur dengan makanan yang disediakan oleh ibu bapa kita walaupun sederhana kerana berjuta-juta manusia di seluruh dunia menghadapi kebuluran. Jelaslah bahawa globalisasi mengajar rakyat kita untuk tidak bersyukur dengan apa yang ada dan menyebabkan rakyat kita menjadi tenaga kerja yang berpenyakit dan tidak produktif. Akhirnya hal ini akan membantut usaha kita untuk menjadikan negara kita sebagai negara maju mengikut acuan kita sendiri sebagaiman yang digariskan dalam Wawasan 2020.
Globalisasi juga menyebabkan jurang perbezaan antara negara-negara kaya dengan negara-negara miskin bertambah luas. Menurut Dr.Yusuf al-Qaradawi, “Sesungguhnya globalisasi hanyalah untuk kebaikan golongan yang kuat terhadap yang lemah, untuk menguntungkan yang kaya dan untuk memanfaatkan blok utara yang kaya terhadap blok selatan yang miskin”. Dalam sistem globalisasi, negara yang kaya akan bertambah kaya , manakala yang miskin akan terus miskin. Pertubuhan-pertubuhan antarabangsa seperti Bank Dunia berperanan dalam mewujudkan jurang yang besar antara negara blok utara dan blok selatan. Negara-negara dunia ketiga yang berada dalam blok selatan, ketika berhutang dengan Bank Dunia, akan dikenakan faedah dan syarat-syarat tertentu yang rata-ratanya akan mendatangkan kesan negatif kepada peminjam. Dalam era globalisasi, negara blok selatan yang masih merangkak tidak mampu mengejar, apatah lagi menyaingi negara-negara maju di blok utara. Oleh itu, jelaslah bahawa globalisasi merupakan satu bentuk penjajahan negara maju ke atas negara miskin dan sedang membangun seperti Malaysia.
Kesimpulannya, globalisasi harus ditangani dengan berhati-hati. Kerajaan kita harus mengambil langkah-langkah yang proaktif agar rakyat kita amnya dan remaja khususnya tidak terjerumus dalam lembah kehinaan yang sememangnya dirancang oleh negara maju untuk memusnahkan golongan muda agar negara-negara miskin dan membangun senantiasa melutut kepada mereka dan menagih simpati dan pertolongan yang akhirnya membelenggu kita dari segala aspek kehidupan kita. Jelaslah bahawa globalisasi boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk penjajahan – penjajahan mental, ekonomi, budaya, sosial dan politik. Oleh itu, kita perlu berhati-hati menghadapi era globalisasi ini kerana jangan sudah terhantuk baru tengadah.




No comments:

Post a Comment